z

z

28 Disember 2010

STIKER KERETA AJJ



HADAPAN


BELAKANG

Kepada sesiapa yang berminat :
1 ) sila Inboxkan nama,alamat dan no hp DI facebook ARNIZAN TULKA.
2 ) Sila Smskan nama,alamat dan no HP ke 010-7086520


HARGA 1 SET ( depan dan belakang ) RM 10.00 kos penghantaran adalah PERCUMA


14 Disember 2010

Hidup penuh pantang larang sejak dalam kandungan

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/12/14

Jawa Ponorogo pegang teguh adat pastikan segala perbuatan tidak undang musibah

HIDUP dilingkari adat dan budaya. Tradisi lama tidak dibuang meskipun cara hidup moden semakin kuat mengasak. Itulah yang terus dipertahankan masyarakat Jawa Ponorogo memastikan mereka kekal sebagai etnik unik dalam memelihara budaya sejak lahir hingga dewasa.
Ia dapat dilihat dan dibuktikan dengan amalan ibu mengandung dan menguruskan bayi baru lahir. Meskipun ia tidak banyak berbeza dengan Melayu, ada amalan unik yang sukar dilihat dalam masyarakat lain.

Kebetulannya, kebanyakan kampung di Sri Medan seperti Parit Warijo masih menggunakan khidmat bidan dalam menguruskan bayi dan ibu dalam berpantang sekurang-kurangnya tiga hari selepas bersalin.

Selain itu, banyak juga pantang larang dan amalan yang digunakan sejak mengandung. Antaranya, kain kemban untuk ke bilik air perlu disidai sebelum mandi. Ia tidak boleh direndam kerana menurut bidan kampung terlatih di Parit Warijo, Rosiah Yaidi, 47, merendam kain berkemban menyukarkan kelahiran anak.

“Wanita mengandung ditegah duduk di depan pintu kerana sukar bersalin. Ia seperti mengelirukan proses kelahiran sama ada mahu masuk atau keluar. Makan buah seperti epal atau apa saja, tidak boleh terus digigit. Perlu dipotong dengan pisau kerana nanti anaknya juga suka menggigit orang ketika kecil.

“Satu perkara yang selalunya dipastikan oleh Jawa Ponorogo ialah tiba masa untuk bersalin, semua bekas bertutup seperti tin biskut dan kotak makanan mesti dibuka. Sampai sekarang ia masih diamalkan. Ia memudahkan proses bersalin seperti membuka jalan kelahiran. Jika pakai tocang pun mesti dibuka ikatannya.
“Ikan bersengat tidak digalak untuk dimakan ibu mengandung. Ikan keli antara yang sangat sensitif dimakan ibu mengandung kerana tabiat ikan itu suka berenang menentang arus. Dikhuatiri, anak yang mahu lahir turut melawan arus, tidak mahu keluar,” katanya ketika ditemui dalam tugasannya menguruskan seorang ibu baru di Parit Baru, Sri Medan, baru-baru ini.

Masyarakat Jawa Ponorogo juga terkenal dengan beberapa upacara khusus ketika menjalani beberapa fasa iaitu tiga bulan ketika mengandung dan selepas melahirkan anak.

Paling ketara kenduri untuk anak sulung ketika usianya mencecah tiga bulan. Ketika itu, majlis ringkas dibuat menggunakan hidangan nasi takir (nasi kuning yang dibalut dengan daun pisang berbentuk sampan).

Ada perkiraan yang dibuat menggunakan kalendar Jawa untuk memastikan berapa bilangan balutan nasi takir perlu dibuat dan ia berdasarkan hari kelahirannya. Sebagai contoh, selepas kiraan oleh orang yang arif kalendar Jawa mendapati hari kelahirannya memberi angka 17, maka 17 balutan nasi takir perlu disediakan.

“Nasi takir juga dibuat ketika mengandung tiga bulan dan diberi kepada jiran dengan diselitkan jarum di tepinya sebagai pendinding. Pernah dengar cerita orang mengandung, bayinya hilang? Itulah tujuannya jarum diselit di tepi nasi takir untuk mengelakkannya hilang, diambil makhluk halus.

“Tujuan diagihkan nasi takir kepada jiran ialah supaya mereka tahu ada orang mengandung dan mereka juga tahu yang kandungan itu sudah tiga bulan.

“Ketika kandungan masuk tujuh bulan, suami dan isteri perlu dimandikan air bunga tujuh jenis. Air itu turut diletak minyak wangi dan ada bacaan khusus untuk membersihkan diri. Ia bertujuan melahirkan bayi yang bersih. Ia dimandikan bidan khusus yang tahu bacaannya menggunakan ayat al-Quran. Biasanya selepas dibaca, air akan berubah menjadi sejuk dingin.

“Senduk sebagai gayung mandian dibuat dengan kelapa. Isi kelapa pula minyak. Ia direbus sampai menjadi minyak dan diminum ibu mengandung itu supaya lancar apabila melahirkan anak nanti,” katanya lagi.

Adat paling unik ialah suami membelah kelapa muda ketika isteri mengandung tujuh bulan. Suami menetak dan semua orang menjadi saksi di bahagian manakah kelapa itu dibelah. Jika tepat di tengah, spontan semua orang berteriak, anak perempuan, tetapi jika di tepi, teriak mereka, anak lelaki.

Meskipun dikatakan hanya kepercayaan Jawa Ponorogo, menurut Rosiah kebanyakan yang membuat tradisi itu biasanya mendapati jantina anak seperti yang dilihat ketika membelah kelapa.

INFO: Adat berpantang

  • Ibu bersandar di sendenan bagi mengelak darah putih naik ke mata atau rahim jatuh serta mudah menguruskan bayi. Sendenan dibuat sendiri menggunakan kayu dan jika tiada, bantal juga boleh diguna untuk menampung badan agar lebih tinggi.

  • Urut ibu bersalin selama lima hari berturut-turut bermula hari kedua atau ketiga untuk membetulkan urat dan peranakan biasanya dengan minyak serai.

  • Apabila tali pusat tanggal, bayi dimandikan dengan air tujuh bunga bagi menghormati uri yang dikatakan teman rapat bayi. Uri yang ditanam berhampiran rumah disiram sisa air mandian bunga mengelak bayi menangis kerana diganggu semangat uri. Mandian bunga juga untuk memberi seri kepada bayi.

  • Tempat uri ditanam perlu dinyalakan api setiap malam untuk memberi cahaya supaya ada rasa dihormati.

  • Jawa Ponorogo menggunakan sengkak iaitu urutan menaikkan kedudukan peranakan yang dilakukan bidan. Pilis pula disapu pada kening untuk mencerahkan mata kerana dikatakan ibu baru melahirkan anak mudah rabun.

  • Bayi dimandikan dengan air rebusan daun dukung anak jika sakit kuning.

  • Ibu guna bengkung yang dililit pada punggung dan perut untuk mengembalikan bentuk tubuh. Uniknya, lilitan bengkung sepanjang 12 meter dilakukan sendiri oleh ibu dan tidak ada sesiapa pun termasuk anak kecil dibenarkan lalu di bawahnya.


  • Rujuk kalendar Jawa elak nasib buruk



    KALENDAR Jawa adalah satu keunikan masyarakat Jawa terutama Ponorogo. Namun, lantaran sukar memahaminya di samping terlalu banyak tafsiran tersirat menyebabkan tidak ramai mempelajarinya menyebabkan ia semakin tidak popular.

    Penggunaan kalendar Jawa penting untuk menentukan banyak perkara termasuk tarikh pernikahan, kenduri dan temu duga.
    Meskipun kalendar itu tidak digunakan secara meluas, ia dijual di kebanyakan kedai di Batu Pahat dan masih disimpan kebanyakan Jawa Ponorogo walaupun ramai tidak tahu menggunakannya.


    Dalam kiraan kalendar Jawa, hanya ada lima hari seminggu dikenali sebagai Paing, Pon, Wagei, Keliwon dan Legi. Hari biasa iaitu Isnin hingga Jumaat tetap ada dalam kalendar itu tetapi putaran lima hari menyebabkan ada Isnin dikenali sebagai Isnin Paing dan selepas putaran ia mungkin menjadi Isnin Wagei.

    Sebagai contoh jika Rabu minggu pertama adalah Paing, maka Rabu berikutnya menjadi Wagei. Putaran itu berterusan sehingga 35 hari dan kembali menjadi Rabu Paing. Ia menunjukkan kalendar Jawa menggunakan 35 hari dalam sebulan.

    Untuk membuat perkiraan pula, setiap hari dalam Jawa diberi nombor iaitu sembilan untuk Paing, tujuh (Pon), empat (Wagei), lapan (Keliwon) dan lima (Legi).

    Isnin hingga Ahad juga ada diberi nombor khas iaitu empat untuk Isnin, tiga (Selasa), tujuh (Rabu), lapan (Khamis), enam (Jumaat), sembilan (Sabtu) dan lima (Ahad).
    Nombor ini penting dalam penggunaan kalendar Jawa bagi mengira jumlah nombor diri individu seterusnya menentukan tarikh sesuai untuknya melaksanakan sesuatu perkara.

    Contohnya, jika lahir pada Ahad Pon, kiraannya menjadi lima (Ahad) dicampur tujuh (Pon) yang membawa jumlah 12. Ia diambil bagi menentukan di mana nasibnya akan jatuh berdasarkan lima perkara iaitu lahir, sandang, pagan, loro dan pati.

    Lahir, sandang (pakaian) dan pagan (makan) dianggap sebagai sangat elok manakala loro (sakit) dan pati (mati) dianggap buruk. Selepas dipastikan angkanya 12, ia dikira bermula lahir ke pati sehingga jatuh ke angka 12. Bermaksud, nasibnya jatuh di sandang menandakan hari kelahirannya sangat sesuai.

    Menurut pakar budaya di Parit Baru, Sadiman Rono atau Pak Samad, jika hari lahirnya dalam lahir, sandang atau pagan, dia sesuai mengadakan apa saja majlis pada hari yang sama.

    “Namun, jika hari lahir jatuh pada loro atau pati, elakkan buat majlis pada hari yang sama. Maksudnya, jika dia lahir pada Ahad Wagei (lima campur empat), yang jatuh pada loro, apa saja majlis tidak sesuai diadakan pada Ahad Wagei.

    “Dikatakan banyak majlis yang melanggar pantang ini mendapat nasib tidak baik. Kenduri kahwin, nasi tak masak, hujan lebat dan pelbagai lagi. Ada pula cerita, orang makan nasi kenduri dapat sakit perut. Tapi itu semua sudah tidak begitu diamalkan kini,” katanya.

    Kiraan kalendar Jawa juga digunakan untuk menentukan berapa banyak nasi takir perlu disediakan untuk hidangan ketika usia bayi memasuki tiga bulan. Meskipun kalendar ini sudah tidak popular kerana diakui sangat sukar untuk memahaminya, namun ia menjadi antara tradisi dan budaya unik yang hanya ada pada masyarakat itu.


    13 Disember 2010

    Warijo rintis penghijrahan Ponorogo ke Tanah Melay ( siri 2 )u

    Warijo rintis penghijrahan Ponorogo ke Tanah Melayu
    Oleh Azrul Affandi Sobry

    PONOROGO ialah satu daerah di Jawa Timur, iaitu satu daripada kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Tengah dan Jawa Barat. Sejarah daerah itu cukup unik terutama mengenai perkembangan Islam sebagai agama terbesar selepas begitu lama rakyatnya beragama Hindu.


    Lebih menarik untuk dikupas sejarah daerah itu kerana ia berkait rapat dengan kewujudan masyarakat Jawa Ponorogo di kebanyakan kampung Batu Pahat, Johor serta sebahagian besar turut mendiami Selangor.



    Di Batu Pahat, masyarakat itu mula mendiami kebanyakan pedalaman awal 1920-an lantaran kesukaran mengukuhkan ekonomi di daerah asal. Penghijrahan itu juga disebabkan penindasan sejak mereka diperintah kerajaan Majapahit. Merujuk masyarakat Jawa Ponorogo di Kampung Parit Warijo, mereka berasal dari Gerogol, kampung kecil di Ponorogo, Indonesia. Kewujudan Parit Warijo dimulai dengan perpindahan sekumpulan kecil masyarakat itu diketuai Warijo Joyo pada 1926. Pemilihan sekitar Sri Medan untuk dijadikan penempatan dicadangkan penduduk Parit Osman yang sudah lama mendiami kawasan itu tetapi bukan dari Ponorogo.



    Pada mulanya, Parit Warijo dan kebanyakan kampung di sekitarnya hanya hutan dan penerokaan Warijo membolehkan lebih ramai penduduk berhijrah, sekali gus mewujudkan perkampungan baru. Pembukaan Parit Warijo juga mendorong penerokaan kawasan baru oleh rakan Warijo seperti di Parit Dayos dan Parit Baru. Keadaan sama berlaku di luar Sri Medan seperti di Parit Bingan dekat Parit Raja yang turut didiami majoriti Jawa Ponorogo.



    “Perpindahan Jawa Ponorogo ke sini melalui Singapura. Ketika itu mereka tidak kata ke Malaya tetapi sekadar menyebutnya ke seberang. Antara sebab utama mereka berpindah kerana tanah di sini lebih subur untuk bercucuk tanam.
    “Tanah di Gerogol keras tidak sesuai untuk bertani. Warijo sanggup berhijrah jauh ke sini untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Itupun selepas mendengar cerita penduduk Parit Osman,” kata bekas ketua kampung, Malik Samuri, 77, sambil menunjuk tapak rumah Wajuri bersebelahan gerbang masuk ke Parit Warijo.



    Meskipun Warijo peneroka kampung itu, peranan membawa masuk lebih ramai Jawa Ponorogo digerakkan Samuri Iman Rejo yang datang kemudian sekali gus dilantik menjadi ketua kampung. Masyarakat Jawa Ponorogo awalnya menanam padi, ubi dan kopi sebagai sumber ekonomi selain bekerja di lombong besi sekitar Sri Medan. Kesempatan meneroka lebih banyak kawasan hutan membolehkan mereka menanam getah dan kelapa sawit malah ada yang memiliki kebun puluhan hektar.



    Masyarakat Jawa Ponorogo di Sri Medan yang sudah mencapai generasi ketujuh masih tidak dapat mengetepikan budaya Hindu yang dibawa dari Indonesia termasuk penggunaan amber tengah (ruang berpalang bawah di tengah rumah) untuk meletak sajen (nasi dengan daging bakar dan kemenyan), meskipun sebahagiannya sudah tidak digunakan.



    Hindu mempengaruhi rapat sejarah masyarakat di Indonesia sebelum kemasukan Islam di kebanyakan kawasan Kepulauan Jawa. Ia bermula sejak Ponorogo yang sebelumnya dikenali sebagai Wengker pada abad ke-15 di bawah penguasaan kerajaan Majapahit, pimpinan Perabu Barwirabumi.



    Wengker dipimpin Ki Ageng Suryong Alam atau (Ki Ageng Kutu) yang enggan membayar ufti kepada Majapahit. Pembesar Majapahit mengarahkan anaknya, Lembu Kanigoro untuk bertindak. Kanigoro menemui abangnya, Radin Fatah yang menjadi Sultan Demak untuk mempelajari taktik berperang.



    Kanigoro juga belajar agama dan memeluk Islam serta menukar namanya kepada Bethoro Katong atau Radin Katong sebelum meneruskan misinya ke Wengker dengan bantuan seorang abdi bernama Selo Aji. Hasil bantuan seorang Muslim, Ki Ageng Merah, satu pertemuan dengan Ki Ageng Kutu dibuat bagi mencari kata sepakat. Namun, ia ditolak pemimpin Wengker sehingga mencetuskan peperangan. Kemenangan akhirnya diperoleh Bethoro Katong selepas mempelajari ilmu kesaktian apabila mengahwini anak Ki Demang, Niken Sulastri sekali gus menawan Wengker dan menjadi bupati (penghulu) pertama bagi daerah itu yang ditukar namanya Ponorogo.



    Tentera Wengker dijadikan pengawal daerah dan daerah itu menjadi lokasi latihan tentera. Pengawal dilatih menjadi handal selain mempunyai kesaktian serta jujur dalam menjalankan tugas. Keberanian dan kepahlawanan itu menyebabkan mereka digelar Warok dalam masyarakat Jawa Ponorogo.



    Sebenarnya Warok menjadi sejarah penting yang menggambarkan ciri utama masyarakat ini iaitu berani dan teguh mempertahankan negeri. Karakter Warok dengan misai dan janggut tebal serta berpakaian serba hitam sering dijadikan bahan dalam persembahan wayang kulit dan barongan. Watak ini juga diabadikan di Ponorogo, Indonesia sebagai tugu simbol kekuatan masyarakat itu. Penampilan watak Warok dengan konsep pakaian asalnya masih ada dalam persembahan barongan. Kemasukan Islam secara hebat di kawasan itu juga ada kaitannya dengan peperangan itu dan peranan Warok sendiri.



    Menurut guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Medan, Mohd Abidin Ismail, kemasukan masyarakat Jawa Ponorogo ke Tanah Melayu ada kaitan dengan peperangan antara Majapahit dengan Belanda.



    “Meskipun orang Jawa terkenal dengan keberanian, mereka tidak suka peperangan sebab itu mereka memilih Tanah Melayu kerana aman. Sebenarnya Jawa Ponorogo datang ke sini sebelum Perang Dunia Pertama. Kawasan Parit Raja, Parit Sulong dan Sri Medan menjadi pilihan pertama. Mereka dari Bengkalis melalui Sumatera pula ke Selangor.



    “Kebetulannya lokasi Jawa Ponorogo dekat untuk ke Selangor dan Johor. Mereka datang dengan tongkang dan memilih hutan untuk diteroka sebab masyarakat ini memang rajin membuka tanah baru. Nama perkampungan diambil daripada nama ketua yang meneroka seperti Parit Warijo,” katanya.



    Lantaran itu katanya, ada orang Jawa Ponorogo yang kini mempunyai ladang kelapa sawit seluas ratusan hektar dan pendapatan bulanan sehingga lebih RM50,000 sebulan kerana keupayaan dan kerajinan mereka meneroka sebanyak tanah yang pada ketika dulu tidak termaktub dalam sebarang akta tanah.

    12 Disember 2010

    Bahasa Halus Kian Pupus





    JAWA Ponorogo mempunyai beberapa kelainan jika dibandingkan dengan masyarakat Jawa lain kerana mereka bukan sekadar berasal dari Jawa Timur, satu daerah dalam Kepulauan Jawa yang turut mempunyai Jawa Barat dan Tengah, malah masyarakat itu turut mempunyai bahasa pertuturan berbeza.



    Jika orang Jawa Ponorogo bercakap dalam bahasa mereka, ia mungkin tidak difahami masyarakat Jawa lain dan begitu juga sebaliknya. Lebih unik, Jawa Ponorogo mempunyai dua jenis bahasa iaitu bahasa pasar (pertuturan biasa) dan bahasa halus yang kini semakin pupus kerana kurang pengamalnya.



    Satu keistimewaan masyarakat ini ialah ketegasan ibu bapa dalam memastikan bahasa Jawa Ponorogo terus diwarisi golongan muda sama ada dengan penggunaan secara kerap dalam rumah, mahupun menjadi bahasa pertuturan rasmi di mana saja mereka berada.



    Justeru, tidak menghairankan jika meskipun orang Jawa Ponorogo sedang berbual dalam Bahasa Melayu sesama rakan bukan Jawa, mereka akan dengan spontan menukar bahasa pertuturan itu ke bahasa Jawa sejurus ada seorang rakan Jawa menyertai perbualan itu.



    Ia juga sama dalam banyak urusan sama ada ketika menyampaikan ceramah dan ucapan sesama mereka. Sukar sekali untuk difahami lenggok bahasa Jawa Ponorogo ini kerana tiada langsung persamaan dengan bahasa Melayu.



    Ketika melihat persembahan wayang kulit yang dibawa khusus dari Ponorogo, Indonesia di satu majlis perkahwinan, semua pengunjung Melayu hanya mampu terpinga-pinga, malah dalam kalangan orang Jawa juga ada yang asyik kehalusan sekali bahasa yang digunakan.



    Ia sekali gus menunjukkan begitu unik sekali bahasa Jawa Ponorogo dalam masyarakat itu, namun hakikat yang perlu diakui ialah ia semakin pupus kerana tidak ramai generasi baru termasuk golongan umur pertengahan yang menguasai bahasa Jawa Ponorogo halus.



    “Kue apik tenang. Ayo la neng ngomah ku. Aku madang sego.” Rasanya bahasa itu kedengaran berbeza sekali dengan orang Jawa lain. Ayat itu yang membawa maksud - “Kamu sangat baik hati. Jemputlah ke rumah saya. Aku makan nasi.” Ada antara isi ayat itu hanya ada pada orang Jawa Ponorogo.



    Namun, jika diteliti pula aspek bahasa halus mereka, nyata jauh sangat perbezaan dengan bahasa pertuturan harian. Malah, jika ditanya kepada orang Jawa lain, pasti ada yang langsung tidak tahu maksudnya sesuatu perkataan itu.



    Sebagai contoh, makan dalam masyarakat Jawa adalah madang dan ada menyebutnya mangan. Namun, dalam bahasa halus Jawa Ponorogo, ia disebut dahar. Nyata jauh sekali perbezaannya, bukan sekadar mengubah satu dua suku kata.



    Tidur disebut turu dalam perbualan harian tetapi menjadi tilem dalam bahasa halus. Rumah atau omah menjadi griyo, manakala jalan atau dalan menjadi radosan.



    Apa sekalipun, keunikan itu pasti menjadikan masyarakat itu sangat menarik untuk didekati, bukan sekadar bahasa tetapi cara hidup dan budaya mereka tersendiri.

    Jati Diri PONOROGO



    Siri 1


    Secara ringkas, Jawa Ponorogo adalah masyarakat terbesar bertumpu di kawasan Sri Medan, Batu Pahat dan antara teramai di daera
    h Johor itu. Malah, mereka juga kekal satu-satunya masyarakat Jawa yang tegar meneruskan cara hidup serta budaya asal Jawa dibawa dari Indonesia.Jawa Ponorogo berasal dari daerah di Jawa Timur iaitu Ponorogo dan kemasukan mereka ke sekitar Batu Pahat dan sebahagiannya di Selangor berlaku pada awal 1920 untuk memantapkan ekonomi mereka lantaran kesukaran membina kehidupan sempurna di tanah asal di Indonesia.

    Kesempatan mendekati mereka di kawasan Sri Medan terutama di kampung Parit Warijo dan Parit Baru, menyerlahkan lagi realiti yang menampilkan kelainan seb
    agai penerus budaya Jawa asli dari Indonesia. Perbezaan yang ditampilkan pula bukan sekadar bahasa tetapi juga cara hidup serta wajah kampung itu sendiri.

    Penulis sendiri terpegun seketika melihat persekitaran ketika melintasi jalan Parit Warijo ke rumah Ketua Kampung, Sukadi Kusmadi, baru-baru ini. Di kiri kanan jalan, kami dihidangkan pemandangan rumah besar berhalaman luas dan bersih dikelilingi pokok kelapa sawit yang tersusun kemas. Bukannya tiada kampung lain sebersih itu tetapi pemandangan kali ini mengagumkan penulis kerana selain kebanyakan rumahny
    a
    ibarat banglo mewah, halamannya juga luas yang boleh memuatkan lebih 10 kereta sekali gus.Biarpun dikelilingi pokok kelapa sawit, persekitarannya sentiasa bersih yang menjadi antara keunikan cara hidup atau budaya Jawa Ponorogo dan bukan Jawa lain secara umumnya.


    Malah Jawa Ponorogo juga unik kerana banyak perbezaan dengan Jawa lainnya termasuk aspek bahasa dan budaya berikutan asal usul mereka dari Jawa Timur di Kepulauan Jawa.Ramai warga tuanya juga mahir berbahasa Jawa Ponorogo halus.Keunikan lain mereka ialah sikap lemah lembut dan berbudi bahasa dalam kebanyakan urusan. Tidak sah bertandang tanpa hidangan sekurang-kurangnya air kosong. Seperti peringatan rakan Jawa la
    in yang mengetahui misi Misteri Etnik mendekati masyarakat itu kali ini, jangan sekali-kali menolak hidangan jika berkunjung ke rumah orang Jawa terutama Ponorogo kerana budaya mereka memastikan tetamu tidak pulang tanpa tekak dibasahkan dulu.


    Merujuk sejarah kedatangan mereka, meskipun merantau ke bumi orang dalam keadaan daif dan hanya berbekalkan kemahiran bertani, masyarakat itu berjaya membina kehidupan baik dengan kebanyakan keluarga memiliki tanah luas mencecah belasan ekar dengan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit dan getah.

    Ia berkait rapat sifat berani meneroka kawasan baru serta rajin. Selain paparan keadaan rumah mereka yang mewah, masyarakat ini juga tebal tradisi mencari rezeki untuk diwarisi turun temurun. Lantaran itulah, meskipun Sri Medan sinonim dengan banjir selama ini, ia mampu dibangunkan dengan baik sampai sekarang atas kemahuan orang Jawa Ponorogo yang membina kehidupan lebih selesa untuk kesenangan anak cucu.Masyarakat Jawa Ponorogo juga memiliki keteguhan mempertahankan budaya tersendiri kerana sudah menjadi tradisi di Ponorogo, Indonesia, satu pesta kebudayaan ‘Reyog’ terus diadakan setiap tahun.



    Ia turut menjadi tunjang kepada keturunan Jawa Ponorogo di negara ini untuk terus mempraktikkan banyak aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti kuda kepang, barongan, wayang kulit dan permainan muzik gamelan. Lebih ketara, perhubungan berterusan masyarakat itu dengan keluarga asal di Ponorogo, membolehkan budaya itu dikekalkan.Kebetulan, ketika tugasan Misteri Etnik ini dijalankan, ramai masyarakat di Parit Warijo berkunjung ke Ponorogo kerana di
    sana bakal diadakan pesta Reyog yang kebiasaannya menjadi keramaian terbesar setiap kali tiba Awal Muharam.



    Kelebihan mereka juga terletak kepada darah pahlawan yang menebal dalam diri mereka, terutama jika merujuk sejarah mereka dalam perkembangan Islam dan tuntutan kemerdekaan daripada kerajaan Majapahit. Jawa Ponorogo ini turut dikenali pejuang ‘Warok’ yang diabadikan sebagai tugu besar di daerah itu di Indonesia.Darah kepahlawanan dan keberanian itulah mendorong mereka untuk membina penempatan di kebanyakan kawasan di Batu Pahat. Malah, di Sri Medan sendiri, boleh dikatakan 80 peratus penduduknya berdarah Ponorogo selain etnik Jawa lain, Banjar dan masyarakat Cina yang bergelar minoriti di situ.


    Status diri sebagai ‘orang kaya’ juga sesuai bagi menggambarkan cara hidup mereka. Difahamkan, tidak banyak kenderaan awam yang sanggup memasuki kawasan itu kerana sukar mendapat penumpang lantaran setiap isi rumah memiliki kereta sendiri, termasuk berkereta mewah.Jika adapun, mungkin sekali bagi setiap dua ke tiga jam, kelihatan kelibat bas awam, itupun tidak ramai penumpang. Kemewahan masyarakat itu mungkin didorong keupayaan mengusahakan sektor pertanian dan perladangan. Difahamkan juga, ekonomi rumah tangga turut dibantu hasil usaha golongan wanitanya yang mahir mengusahakan pelbagai kerja tangan.



    Biarpun kaya atau berkemampuan, mereka tidak lekang sikap ramah, merendah diri serta budi bahasa tinggi yang menarik hati penulis. Tidak hairanlah kerap juga program anak angkat diadakan di situ kerana mudah mendapat kerjasama keluarga yang sudi menerima tetamu.Mereka juga dikatakan golongan kuat beribadat dan hebat berdakwah, termasuk penggunaan pentas wayang kulit sebagai saluran utamanya. Malah, ia menjadi alat utama pada zaman wali kesembilan di Jawa ketika penyebaran dakwah Islam kepada masyarakat Jawa Hindu.



    Namun, disebabkan Indonesia secara umumnya dan Kepulauan Jawa pada dulunya dimonopoli agama Hindu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi budaya masyarakat Jawa termasuk Ponorogo, terutama struktur rumah.Kebanyakan, malah mungkin semua rumah asal Jawa Ponorogo mempunyai ruang di tengah dinding berlubang dengan satu kayu setinggi paras betis di bawahnya dikenali sebagai ‘Undak Undaan’. Ia sebenarnya digunakan oleh masyarakat dulu untuk meletak kemenyan dan kelapa, kononnya untuk meraikan sesuatu. Ia nyata pengaruh Hindu yang dibawa mereka, namun sudah diketepikan kini.