z

z

22 September 2010

Kebakaran

UTUSAN MALAYSIA

5 beranak tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm&ref=nf

BATU PAHAT 21 Sept. - Di saat umat Islam masih bergembira menyambut kemeriahan Aidilfitri, lima sekeluarga terpaksa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Nibong, Semerah, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Saimah Atan, 59, berkata, ketika kejadian, dia sedang berada di belakang rumahnya untuk membakar sampah sarap, pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata, malangnya dia tidak menyedari api pembakaran itu turut merebak dan membakar rumahnya.

"Saya pergi ke belakang untuk membakar sampah dan mengemas di belakang tetapi tanpa disedari rumah saya pula terbakar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, dia hanya menyedarinya apabila diberitahu oleh jirannya, Salmawiah Pagi, 42, yang ternampak rumahnya sedang terbakar.

Saimah tinggal bersama suaminya, Mohd. Noh Yusof, 60, tiga anaknya Mohd. Razif, 28, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Sejagong Sri Medan, Mohd. Firdaus, 24, dan Noratika,17.

Dia yang bergegas ke rumahnya tidak sempat menyelamatkan semua barang berharga termasuklah wang tunai RM700 kerana api merebak pantas.

"Bahang api yang kuat mengakibatkan pipi dan lengan kiri saya melecur," ujar beliau.

Noratika yang bersekolah di tingkatan 5, Sekolah Menengah Semerah akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini sedih kerana kesemua buku sekolah dan latihannya serta duit rayanya musnah.

Salmawiah berkata, dia dan anaknya cuba menyembur air menggunakan paip getah dari rumahnya tetapi gagal kerana api semakin marak.

"Kami terdengar bunyi letupan kuat mungkin kerana tong gas di rumah Saimah," katanya ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.


SINAR HARIAN

Rumah musnah dijilat api

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8205456.asp

SEMERAH – “Saya reda dengan apa yang berlaku,” luah mangsa, Saemah Atan, 59, yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya hangus dijilat api dalam satu kebakaran pagi semalam semalam.
Menurut Saemah, dia langsung tidak menyedari kejadian kebakaran itu berlaku kerana terlalu asyik membersihkan belakang rumahnya dengan membakar sampah serta membersihkan halamannya kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, ketika asyik membersihkan serta membakar sampah, jirannya, Samawiah Pagi, 42, memanggilnya dan mengatakan bahawa rumahnya sedang terbakar.

“Saya sungguh terkejut dan ketika melalui bahagian tepi rumah, pipi dan lengan saya melecur akibat daripada bahang api yang terlalu panas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian rumah berkenaan di Kampung Sungai Nibong.

Saemah reda apabila kesemua barang-barang berharga dalam rumahnya, duit raya anaknya dan wang tunai RM500 musnah dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti perasaan anaknya yang bersekolah di tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Makcik tidak tahu apa perasaan anak, Noratikah Mohd Noh, 17, yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini, sebab semua barang-barang dan buku pelajarannya musnah kebakaran ini.

“Saya juga tidak dapat memastikan apakah punca kebakaran ini kerana semasa keluar untuk membersihkan belakang halaman rumah, saya sudah pastikan ubat nyamuk yang dipasang pada malam harinya sudah dilihat tiada apinya,” katanya.

Sementara itu, Samawiah berkata, dia menyedari kebakaran tersebut apabila terdengar bunyi meletup sebanyak dua kali dari rumah jirannya itu semasa berehat di rumahnya.

Menurutnya, disebabkan bunyi itu, beliau melihat rumah jirannya itu dan terkejut apabila rumah itu sedang dijilat api.

“Saya sungguh terkejut apabila melihat api mula marak menjilat dinding-dinding yang terdiri daripada kayu mula terbakar. Disebabkan itu juga, saya terus membuka paip air untuk memadam api, namun ianya terlalu marak,” katanya ketika ditemui.

Ketika kejadian tersebut juga, anak jirannya, Mohd Firdaus Mohd Noh, 24, sempat menyelamatkan diri apabila terkejut daripada tidur setelah menyedari bahang panas.

Difahamkan, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.



Tiada ulasan: